Menurut Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya, Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman, inisiatif kali pertama dilaksanakan itu adalah bertujuan mengimarah Ramadan selain merapat hubungan kakita­ngan Pharmaniaga dengan para petugas hospital khususnya yang bertugas di jabatan kecemasan dan trauma.

Katanya, melalui program Hero Ramadan, sebanyak enam hospital terpilih di sekitar Lembah Klang telah dikunjungi kakitangan Pharmaniaga bagi menyampaikan sumba­ngan berupa pek makanan.

“Walaupun kali pertama diadakan namun sambutannya menggalakkan dan kami tidak menolak kemungkinan untuk menjadikannya acara tahunan.

“Antara hospital terpilih sepanjang tiga hari program ini ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Shah Alam dan Hospital Tengku Am­puan Rahimah, Klang,” katanya yang ditemui dalam program Hero Ramadan di Hospital Serdang, dekat sini.

Dalam pada itu, Zuhri Iskandar berkata, setiap hospital dikunjungi, sejumlah 150 pek makanan diagihkan kepada petugas jabatan itu sebagai tanda menghargai jasa mereka yang bertungkus lumus memberi rawatan terbaik tanpa mengenal erti batas masa tertentu.

Melalui usaha tersebut juga katanya, adalah diharapkan sedikit sebanyak meredakan tekanan tugas dihadapi sete­rusnya memperkenalkan jenama Pharmaniaga dalam kala­ngan petugas hospital terlibat.

“Kami di Pharmaniaga memahami cabaran dihadapi petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma sentiasa terkejar bagi melaksanakan amanah yang digalas.

“Cabaran mereka hadapi tidak mudah, malah kes didepani oleh mereka sentiasa berbeza dan tidak mudah sehingga memerlukan mereka memberikan tumpuan penuh tanpa mengenal erti penat serta lelah demi memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” ujarnya.