Wan Din Wan Ali, 49, berkata, dia kini bergantung harap sepenuhnya kepada wang pencen tentera yang diperoleh setiap bulan bagi menyara keluarga.

Menurutnya, lebih memeritkan lagi anak sulungnya, Wan Izzat Amir, 25, disahkan menghidap penyakit hemofolia dan tibi sekali gus memerlukan penjagaan rapi.

“Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa menanggung empat lagi anak yang masih belajar di menara gading dan bersekolah.

“Jadi saya terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan kewangan bagi mengelakkan berdepan kesulitan di kemudian hari,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, POKB yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,000 daripada Tabung Kaseh Kanser OKB kepada Wan Izzat Amir.

Wan Din memberitahu, selain itu, dia juga terpaksa menanggung kos berulang alik anak dan isterinya ke hopsital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, bagimanapun dia berasa lega apabila menerima sumbangan pihak POKB.

“Saya berterima kasih kepada POKB dan sumbangan ini amat besar ertinya buat kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Wan Din boleh salurkan ke akuan Bank Islam Malaysia Berhad (03-027-02-075720-1).