Menurut Siti Zaleha Sani, 42, suaminya, Muhammad Hisham Ayis @ Aziz, 47, yang disahkan menghidap penyakit kronik itu sejak Julai tahun lalu kini hanya mampu terbaring di atas katil di ruang tamu rumahnya.

Dia berkata, keluarganya tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana agensi dan terpaksa bergantung harap dengan pendapatan anak lelakinya yang bekerja di kilang selain wang ihsan pemberian keluarga terdekat.

“Suami saya mula menyedari tanda-tanda penyakit tersebut apabila perutnya mula membengkak sejak April tahun lalu dan mendapatkan pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Seminggu selepas menyambut hari raya Aidilfitri, barulah kami menerima keputusan kesihatan bahawa dia menghidap barah hati.

“Saya ada membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kebajikan, tetapi mereka perlukan surat berhenti kerja daripada majikan suami sedangkan status dia masih bercuti tanpa gaji. Keadaan ini menyukarkan kedudukan kami pada masa ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Plentong Baru di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Hisham berkata, dia hanya mampu berserah kepada Allah setelah diuji dengan penyakit kronik berkenaan dan sudah tiada daya untuk melawannya.

Walaupun dalam situasi me­ngalami kesakitan setiap hari, dia tetap tidak melupakan pera­nan sebagai ketua keluarga yang risau memikirkan masa depan anaknya terutamanya yang masih bersekolah di tingkatan tiga dan darjah empat.

“Saya memang risau tentang mereka dan tidak tahu bagaimana lagi nak ikhtiar sekiranya tiada bantuan. Ada juga ibu saya memberi bantuan kewangan tapi saya tidak boleh berharap kepadanya setiap masa.

“Perasaan sedih itu tidak dapat digambarkan apabila hanya mampu terbaring sahaja, hendak duduk di atas kerusi roda pun tidak larat kerana perut terasa pedih,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 151294898453 atas nama Siti Soleha Muhammad Hisham.