Menurut Jaafar Sapek, 50, dia pasrah dengan dugaan melanda keluarganya itu meskipun dalam kemeriahan hari raya malah bersyukur tiada ahli keluarganya yang mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian berlaku, saya baru selesai membuat dialisis di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mendapat panggilan telefon daripada anak mengatakan rumah kami sudah terbakar kira-kira pukul 4 petang.

"Saya terkejut dengan perasaan tidak menentu lalu terus bergegas balik ke rumah. Sampai saja sudah tidak kelihatan rumah lagi hanya api dan asap hitam," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, 27 orang daripada lima keluarga terlibat dalam kebakaran yang menyebabkan kemusnahan dua rumah 100 peratus manakala tiga lagi kira-kira 30 peratus dalam kejadian lebih kurang pukul 4 petang itu.

Tambah Jaafar, peralatan pukat bagi menangkap ikan juga musnah bersama semua barangan rumah yang lain.

"Kami tinggal sehelai sepinggang malah anak kedua saya baharu mendapat duit gaji yang disimpan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

"Ketika kejadian, tiada orang di dalam rumah kerana sedang pergi beraya di rumah jiran di sini," jelasnya.

Katanya, kini dia sudah tidak dapat turun ke laut lagi dengan tiada jaring malah sebuah lagi rumah yang disewakan turut musnah semalam yang menjadi punca pendapatannya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Hipni berkata, pihaknya menyediakan bantuan kecemasan berupa wang tunai dan barang keperluan harian kepada lima keluarga yang terjejas dalam kebakaran semalam.

"Pihak Jabatan Kebajikan juga telah tampil dan Baitulmal dan Pusat Khidmat Parlimen pun akan membantu mangsa-mangsa. Kita melalui Pusat Khidmat Parlimen akan membantu memohon untuk membina semula rumah mangsa yang musnah.

"Proses pemohonan itu akan mengambil masa dan diharap keluarga terlibat dapat bersabar. Buat masa ini, 27 mangsa terlibat tinggal bersama saudara mara berdekatan di sini," jelasnya.