Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Roslan Md. Taha berkata, projek itu bertujuan menggantikan struktur jambatan keluli sedia ada berikutan bilangan trafik yang melalui kemudahan itu sangat tinggi.

Katanya, pembinaan jambatan sepanjang 24 meter itu juga dilaksanakan selepas mengambil kira kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan itu sehingga mengakibatkan struktur jambatan menjadi retak.

“Projek tersebut akan memulakan kerja bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Mei 2020 selepas menempuh fasa pembinaan selama 24 bulan.

“Pembinaan jambatan baharu yang mempunyai dua lorong dua hala itu diharap dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna selain memacu ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika berucap merasmikan Permulaan Kerja Projek Jambatan di sini hari ini.

Yang turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Langat, Azman Ahmad serta calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz dan Mohd. Zin Isa. - UTUSAN ONLINE