Dr. Mustaffa Halabi Azahari
Dr. Mustaffa Halabi Azahari

Presiden penaja APM, Prof. Dr. Mustaffa Halabi Azahari berkata, penubuhan persatuan alumni yang pernah menyertai kursus bidang fotografi sama ada di peringkat diploma, ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana di Institut Teknologi Mara (ITM) dan UiTM sejak 1973 itu dilihat perlu kerana ia akan membolehkan satu persepakatan dilakukan antara pelajar lama dan pelajar baharu.

Menurut beliau, ia juga membolehkan aspek kebajikan bekas-bekas pelajar dan kakitangan pengajian bidang berkenaan diambil kira dalam mengurangkan beban mereka yang tidak bernasib baik.

"Kami juga melihat penubuhan persatuan alumni ini akan membolehkan satu bank kerja diwujudkan dalam kalangan ahli kerana kebanyakan daripada bekas-bekas pelajar ini sudah berjaya dalam karier masing-masing dan mempunyai nama dalam arena mereka sendiri.

"Jadi bagi graduan yang baru menamatkan pengajian mereka bolehlah mencuba menyertai mereka yang sudah mempunyai nama dalam bidang kepakaran masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas mesyuarat pertama penubuhan jawatankuasa penaja APM di Ampang dekat sini semalam.

Dalam pada itu Dr. Mustaffa Halabi turut menambah, selepas penubuhan APM kelak, pihaknya turut bercadang untuk mewujudkan koperasi APM bagi mencari sumber pendapatan dalam membantu ahli-ahli yang tidak bernasib baik.

"Kita tidak boleh bergantung harap kepada yuran ahli semata-mata, tetapi perlu berusaha mencari dana sendiri dalam menambah kantung persatuan untuk membolehkan kita membantu ahli-ahli yang tidak bernasib baik," katanya.

Dalam mesyuarat yang diadakan itu, seramai 15 bekas pelajar bidang fotografi UiTM sejak wujudkan program berkenaan di ITM pada tahun 1973 hadir bagi menjayakan penubuhan APM.

Untuk rekod, sejak program itu diwujudkan pada tahun 1973, terdapat sekitar 5,000 bekas pelajar sudah dikenal pasti.

Bekas-bekas pelajar bidang fotografi UiTM turut dijemput untuk menyertai FB APM di sini atau menghubungi jawatankuasa penaja melalui e-mel di sini. - UTUSAN ONLINE