MOHAMAD HASAN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apabila diwartakan kelak, kawasan kediaman mereka tidak boleh lagi diusik mana-mana pihak.

“Mereka duduk dalam kawasan hutan simpan. Masa hadapan mereka tidak boleh dikatakan terjamin sangat kerana jika suatu dasar kerajaan berubah dan ada pula yang hendak membuka hutan serta menuai hasil, sudah pastilah masyarakat Orang Asli itu akan terjejas.

“Maka, kerajaan mahu memastikan kehidupan masyarakat Orang Asli itu lebih terjamin dan tidak ada niat mahu mengecilkan kawasan mereka,” katanya kepada pembe­rita selepas menyampaikan hak milik dan saham Felcra Berhad Kerangai-Penagoh, di sini hari ini.

Tambah Mohamad, bagi memperkukuhkan lagi keberadaan masyarakat Orang Asli di kawasan hutan simpan itu, beliau berpendapat ada kemungkinan untuk membawa satu usul pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitannya.

“Saya akan membawa satu usul dalam Sidang DUN supaya mana-mana pihak yang hendak membuka atau mengganggu gugat kehidupan masyarakat Orang Asli dalam hutan simpan yang diwartakan itu, mestilah mendapat kelulusan Sidang DUN.

“Maka, itu akan lebih menjaminkan kehidupan mereka. Tidak boleh disentuh, diganggu gugat kawasan mereka.

“Kawasan sekitarnya pula akan dijadikan kawasan rayau,” tegas Mohamad.

Namun katanya, mana-mana kawasan baharu diteroka pihak ter­tentu, kononnya untuk penempatan Orang Asli, kerajaan tidak akan pertimbangkannya.

“Kerajaan hanya menfokuskan perkampungan asal Orang Asli sahaja. Ketika ini, kerja ukur kasar di perkampungan Orang Asli yang telah dikenal pasti, hampir selesai dilakukan bersama Jabatan Perhutanan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan pencerobohan hutan di negeri ini.

“Kita tahu ada pencerobohan terutama di kawasan sempadan negeri. Penceroboh hutan ini kita akan tangkap. Maknanya, jika kita tidak jumpa mereka, kita akan buru dan cari sehingga dapat,” tegas Mohamad.