Menerusi satu majlis ringkas yang diadakan di puast pengajian tahfiz tersebut, KMEK dan E-Idaman berganding bagi menghulurkan bantuan berupa barangan asas serta duit raya untuk 55 pelajar yang sedang menuntut ilmu agama di situ.

Presiden KMEK, Mohd. Rafie Azimi berkata, pemberian itu diharap mampu menambah kemeriahan Aidilfitri buat para pelajar selain membantu meringankan beban pusat pengajian tahfiz persendirian tersebut.

"Kami mengumpul derma daripada ahli terdiri daripada wartawan dan jurugambar selain menyalurkan sedikit sumbangan dari kelab bagi membeli barang-barang keperluan tersebut manakala di pihak E-Idaman, mereka bertindak menghulurkan sumbangan berupa duit raya kepada para pelajar terlibat.

"Sebelum ini kami pernah membantu keluarga Cina pada Tahun Baharu Cina dengan kerjasama Exco negeri dan kali ini kami membantu pula pusat tahfiz. Insya Allah pada masa akan datang, program sebegini akan terus dijalankan melibatkan setiap perayaan," katanya.

Sementara itu Ketua Komunikasi Korporat Environment Idaman, Erni Nerina Awang Salleh berkata, pihaknya berbesar hati untuk turut menyumbang bagi menjayakan program tersebut.

"Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami. Di pihak E-Idaman, kami sentiasa berbesar hati untul berkongsi kegembiraan bersama golongan memerlukan," katanya.

Sementara itu mudir maahad tersebut, Shuzaimee Aidy Samsudin berkata, sumbangan sedemikian sememangnya membawa erti yang besar buat pihak pengurusan tahfiz dan anak-anak didiknya.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu. Ada antara anak-anak ini yang perlu kami cari sepenuhnya dana untuk mereka dan sudah tentu bantuan sebegini amat membantu," katanya. - UTUSAN ONLINE