ZUBIR JAMAL

Zubir Jamal, 56, merupakan antara 70 peserta yang menerima anugerah dalam Majlis Konvokesyen DEPLB yang dilaksa­nakan secara modular selama dua bulan bermula 12 Februari 2018 dan berakhir pada 28 Mac 2018.

Menurut Zubir yang juga Naib Pengerusi JKKK Kebangsaan, beliau sangat berterima kasih kepada Kementerian Kemaju­an Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kerana mengambil ini­sia­tif menjadikan pihak kepim­pinan JKKK sebagai satu pengurusan profesional.

“Usaha yang dilaksanakan KKLW ini adalah cukup bagus dalam melahirkan generasi ke­pimpinan yang berkemampuan untuk menguruskan kawasan luar bandar.

“Malaysia adalah negara yang mewujudkan kementerian khas bagi membangunkan kawasan luar bandar dan ini berbeza dengan negara-negara lain. Jadi usaha yang telah diambil pihak kerajaan ini merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diambil serius oleh semua ke­pimpinan JKKK termasuk JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA),” katanya.

Zubir yang juga Ketua Kampung Kampung Kundur Hulu, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, beliau menerima tawaran DEPLB selepas mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Zon Tengah/Selatan pada awal tahun ini.

“Dengan tawaran pengajian diploma ini adalah peluang yang sangat baik untuk menambah ilmu pengetahuan dari segi pengurusan kampung dan sangat bersesuaian dengan apa yang dilakukan pada waktu ini.

“Sebagai pemimpin, ini adalah peluang yang sangat diperlukan dan amat bermanfaat khususnya dalam melahirkan kepimpinan kampung yang berilmu kerana ia penting untuk aspek pengurusan di zaman yang mencabar ini,” ujarnya.

Katanya, sepanjang mengikuti program itu, beliau banyak belajar pengurusan pentadbiran kampung dan ekonomi yang sangat penting untuk memba­ngunkan ekonomi penduduk kampung.

Selain itu, beliau juga diberi latihan mengenai bencana alam dan tindakan awal yang perlu dilakukan pihak JKKK sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau tanah runtuh.

“Sepanjang program ini, saya telah melakukan pelbagai pe­rancangan untuk memajukan kawasan luar bandar. Contohnya, saya sedang menguruskan sumber-sumber ekonomi kampung dalam menjadikan kampung sebagai sebuah tempat yang boleh dilawati oleh orang luar.

“Dalam masa yang sama, saya berusaha meningkatkan ke­sedaran masyarakat kampung kepentingan memajukan kawasan luar bandar. Ini sebahagian daripada cabaran yang harus saya hadapi dalam mengubah mentaliti masyarakat. Diharapkan masyarakat dapat memberi kerjasama dan menunjukkan komitmen yang baik demi memajukan kampung masing-ma­sing,” katanya.