Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pusat beli-belah So­go, Jalan Tuanku Ab­dul Rahman dan Jalan Bunus di sini mendapati masih ramai pengemis warga asing berkeliaran dan situasi tersebut ternyata meresahkan warga kota.

Menurut seorang peniaga, Mohd. Nor Iman Md. Yusof, 34, lebih ramai pengemis warga asing akan muncul menje­lang lewat petang dan malam di sepanjang kawasan perniagaan Jalan Bunus.

“Kebanyakan mereka adalah warga asing dan ada sebahagian daripada mereka yang membawa anak kecil bersama ketika mengemis,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Perkara tersebut turut di­persetujui oleh seorang lagi peniaga, Ahmad Bakti Ahmad Alim, 38, yang sudah berniaga di pelbagai kawasan di ibu negara selama kira-kira 20 tahun.

Katanya, pengemis di sekitar kawasan tersebut sudah selesa kerana mampu menyara hidup mereka hanya dengan hasil mengemis saban hari.

“Pada waktu malam akan ada persatuan kebajikan yang datang berikan me­reka makanan. Waktu siang pula mereka mampu beli makanan dengan hasil mengemis.

“Sebab itu mereka selesa mengemis dan tidak berusaha mengubah cara hi­dup,” katanya.

Selain pengemis warga asing, terdapat juga warga tempatan yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) duduk di sepanjang kaki lima kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk menjual tisu dan makanan ringan.

Menurut seorang OKU yang menjual tisu di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Abd. Hamid Omar, 61, mereka ti­dak mengganggu laluan pe­jalan kaki dan tidak mengganggu ketenteraman awam di sekitar kawasan tersebut.

“Kami tidak meminta-minta. Jika orang nak beri, kami terima. Jika tidak, kami tak boleh paksa,” katanya yang merupakan OKU kategori penglihatan.