Ikatan perkahwinan antara arwah Fatin Nursyahirah Yusuf, 24, bersama pasangannya, Mohammad Saiful Azzam Mohmed, 25, pada Jumaat lalu hanya berlangsung selama 18 jam selepas penuntut Universiti Malaya itu menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

Menurut abang kepada arwah Fatin Nusyahirah, Mohamad Shukur, 30,berkata, adiknya yang mesra dengan panggilan kakak itu disahkan menghidap kanser tisu tahap tiga ketika Ramadan tahun lalu.

“Walaupun disahkan menghidap kanser, kakak sentiasa positif dalam kehidupannya.

“Begitu juga apabila keputusan pembedahan yang dijalani pada September 2017 dan Februari lalu tidak begitu positif namun kakak sentiasa yakin kanser dalam tubuhnya itu mampu dirawat. Begitu juga dengan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita dirumahnya di Taman Mahsuri, di sini hari ini.

Mohamad Shukur berkata, kesungguhan Mohammad Saiful Azzam menghantar rombongan meminang arwah Fatin Nusyahirah walaupun mengetahui tahap kesihatan adiknya itu membuatkan ibu bapanya, Yusuf Mat, 66, dan Normah Albi, 51, menerima ketentuan Ilahi dengan kesyukuran.

“Pada 3 Syawal lalu berlangsung majlis merisik dan bertunang antara kakak dan jejaka pilihan hati yang dikenali lebih tiga tahun lepas.Siapa sangka, Mohammad Saiful Azzam yang terpaut kasih pada kakak sejak pertama kali berjumpa di pesta Penang pada 2015 begitu bersungguh untuk memperisterikan Fatin Nusyahirah,” ujarnya.

Mohamad Shukur memberitahu, arwah Fatin Nursyahirah sepatutnya dinikahkan pada 18 Ogos ini namun diawalkan apabila tahap kesihatan anak keempat daripada lima beradik itu semakin merosot sejak seminggu lalu.

“Selepas bertunang, kedua-dua mereka begitu teruja membuat persiapan perkahwinan seperti menempah baju dan membeli barang-barang hantaran. Bagaimanapun sejak seminggu lalu, kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah malah arwah sering sesak nafas kerana kanser yang dihidapi telah menyerang paru-paru.

“Melihat keadaan kakak, kami ada berbincang semula dengan pihak lelaki tentang majlis perkahwinan yang bakal berlangsung. Keluarga lelaki bersetuju mempercepatkan majlis pernikahan dan keputusan itu ternyata memberi sinar baharu kepada kakak,” katanya.

Menurut Mohamad Shukur, kegembiraan adik perempuannya itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia terpaksa dimasukkan ke Hospital Jitra, di sini selepas empat jam diijab kabul selepas mengalami kesukaran bernafas.

“Akhirnya, pada kira-kira pukul 5.30 pagi semalam (Sabtu) kakak menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, ibu dan ayah, ibu saudara serta saya. Walaupun arwah dan Mohammad Saiful Azzam menjadi suami isteri tidak sampai 24 jam, saya yakin kakak berasa gembira dan bahagia di akhir hayatnya,” ujarnya.

Kisah pasangan itu juga mendapat perhatian netizen sejak semalam apabila ia dimuatkan dalam sosial media. - UTUSAN ONLINE