Norafandi Noordin

Ini kerana mereka yang terlibat dalam ekspedisi sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 itu mendakwa hilang punca mata pencarian tetap dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Wakil bekas penerjun itu, Mohd. Khashiain Khan Omar Khan, 30, berkata, janji memiliki rumah dan menunaikan umrah peserta terjunan juga tidak ditunaikan penganjur sehingga hari ini.

Beliau yang merupakan seorang nelayan di Persiaran Gurney berkata, pendapatan bulanan sekitar RM1,500 ternyata tidak mencukupi sekarang ini menyebabkan beliau terbeban dan menghadapi masalah untuk menanggung isteri dan seorang anak.

Dia memberitahu, keadaan bertambah sukar apabila aktiviti menangkap ikan yang dilakukan dibuat tanpa lesen, sekali gus tidak melayakkannya menerima pampasan selepas projek tambakan laut dilakukan kerajaan negeri.

“Saya mohon pihak yang pernah berjanji membela nasib kami tampil membantu sekurang-kurangnya menubuhkan sebuah kelab bagi memudahkan kami mencari pendapatan tetap,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 2007, seramai 15 pemuda negara ini mencatat sejarah selepas melakukan penerjunan di Kutub Utara pada pukul 4.20 pagi waktu tempatan (10.20 pagi waktu Malaysia) dalam misi selama 21 hari tersebut.

Sementara itu, seorang lagi bekas penerjun, Norafandi Noordin, 34, berkata, usaha membawa nama Malaysia sehingga tercatat dalam rekod dunia dan Malaysian Book of Records (MBOR) menerusi misi terjunan itu seperti tidak dihargai.

Dia yang bekerja dengan bapanya sebagai pembancuh air mendakwa, sebaliknya mereka hanya dibayar RM200 untuk membuat persembahan dalam majlis perkahwinan anak kepada pemimpin ternama negara ini.

“Perkara yang kami buat itu melibatkan nyawa tetapi dise­babkan umur kami yang masih muda ketika itu, ramai mengambil kesempatan atas kelebihan yang dimiliki.

“Bukan itu sahaja, tiga lagi peserta yang berasal dari Pulau Pinang turut menerima nasib sama dan masih tercari-cari pembelaan yang pernah dijanjikan dahulu,” dakwanya.