Kegusaran mereka bertambah apabila seorang remaja perem­puan mendakwa menjadi mangsa serangan ‘orang minyak’ ber­kenaan, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa, Nik Anis Ashira Kamarulzaman, 17, sedang menjemur pakaian di belakang rumah sebelum dia diserang lelaki dipercayai orang minyak.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian II itu mendakwa dia ditarik dari arah belakang dan dibawa ke ruang tamu rumah sebelum tangan, kaki dan badannya diikat pada kerusi.

“Saya jadi lemah seperti dipukau dan tidak dapat mengecam dia dengan jelas. Saya hanya ter­sedar selepas lelaki itu mencekik leher saya.

“Saya ketakutan, menangis dan hanya mampu menjerit meminta tolong kerana badan yang menjadi lemah. Dia kemudiannya melarikan diri melalui tingkap dapur rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semasa menemu bual mang­sa di rumahnya, didapati masih terdapat kesan minyak di leher dan kaki, malah mangsa juga berada dalam keadaan terkejut dan trauma.

Bapa mangsa, Kamarulzaman Mat Yunus, 44, berkata, gangguan ‘orang minyak’ di kampung itu bermula sejak awal Mac lalu itu menyebabkan penduduk kampung mula melakukan rondaan dan berjaga pada waktu siang dan malam untuk menangkap lelaki berkenaan.

“Di sini terdapat enam buah rumah dan empat rumah menjadi mangsa gangguan apabila tingkap rumah kami tiba-tiba pecah dibaling batu. Namun kami tidak dapat melihat siapa yang melakukannya.

“Kami berjaga tidak kira waktu siang dan malam, tetapi gangguan ini akan lebih kuat selepas waktu maghrib hingga siang keesokkan hari,” katanya.

Difahamkan, antara gangguan diterima penduduk ialah pintu rumah diketuk berkali-kali, ternampak kelibat lelaki hitam berminyak merangkak dan berkeliaran namun hilang apabila dikepung serta tingkap dan bumbung rumah dibaling batu.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.