Mohd. Syamizar Mohammad Yahya, 33, hanya mampu baring sejak enam bulan lalu selepas mengalami kecederaan teruk selepas motosikalnya terlibat kemalangan jalan raya dan kini dijaga isterinya, Rozita Paiman, 29.

Penderitaan Mohd. Syamizar itu mendapat perhatian Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan JPJ negeri yang datang ke rumahnya di Kampung Sawah, pekan Nanas, di sini hari ini.

Menurut Rozita, keluarganya terharu menerima kunjungan Pengarah Perkeso negeri, Muhammad Alif Haikal Cheong Abdullah dan Ketua JPJ Pontian, C. Navanitham.

Katanya, Perkeso menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga kerana ketika ini hanya bergantung dengan gaji suaminya sebanyak RM1,700 sebulan.

“Terima kasih Perkeso dan JPJ Johor kerana mengambil berat mengenai keadaan suami saya yang kini hilang upaya akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu,” kataya ketika ditemui.

Yang turut hadir Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Hishamuddin Busri dan Ketua Kampung Kawasan 5 Mukim Jeram Batu Pengkalan Raja, Mohd. Najib Yunos.

Rozita bersyukur masalah yang menimpa suaminya mendapat perhatian Perkeso walaupun hanya sempat mencarum beberapa bulan sebelum bertugas di JPJ Kuala Kubu Baru, Selangor.

Sementara itu, Muhamad Alif Haikal berkata, Mohd. Syamizar layak menerima bantuan pemulihan dan akan menjalani rawatan di Pusat Rehabitasi Perkeso di Melaka.

Katanya, selain bantuan pera­latan sebanyak RM13,000, Perkeso akan memberikan bekalan lampin pakai buang dan susu formula khas setiap bulan sepanjang hayat kepada Mohd. Syamizar.

“Walaupun sudah lama caruman dibuat sebelum Mohd. Syamizar berkhidmat sebagai kakitangan awam, caruman berkenaan dapat digunakan dan membantu hingga hari ini,” katanya.