Baginda bertitah, tauliah mengajar Agama Islam Negeri Perlis adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam seperti yang termaktub dalam Seksyen 118 Bahagian X - Pendidikan Agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Tegas baginda, jika melanggar ketetapan ini, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 119: Kesalahan Mengajar Agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam Tanpa Tauliah Bahagian X Pendidikan Agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Baginda bertitah, ia boleh disabitkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Beta berharap pihak pengurusan masjid di seluruh negeri ini dapat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin,” titah baginda semasa majlis penyerahan tauliah kebenaran solat Jumaat kepada Masjid Al-Ghufran, Batu 2 Lama, Jalan Kaki Bukit, Kangar yang telah siap pembinaannya baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah, Ramli Jusuh menerima tauliah tersebut bagi pihak masjid.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan. - UTUSAN ONLINE