Menyedari perkara itu, sebuah syarikat, Central Spectrum Sdn. Bhd. menyahut tanggungjawab tersebut dengan menganjurkan program menanam pokok bakau di kawasan muara Pulau Indah, di sini hari ini.

Pengurus Besar Pembangunan syarikat itu, Noor Azhuril Adnan berkata, selain kakitangan syarikat, golongan pelajar turut dilibatkan dalam program itu bagi menanam sikap cintakan alam sekitar dalam kalangan mereka.

“Walaupun pokok bakau yang ditanam hanya 250 batang, namun kerjasama kami dengan syarikat korporat dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) adalah untuk memberi pendidikan kepada generasi muda.

“Seramai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah terlibat dalam program ini yang merupakan perkembangan baik untuk menanam sikap mencintai alam sekitar dalam kalangan mereka,” katanya selepas program ber­kenaan di sini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Infinity Logistics & Transport Sdn. Bhd., Datuk Chan Kong Yew; Ketua Jabatan Pemasaran Westports Malaysia Bhd., K. Vijaya; Pengurus Besar Negara (Malaysia, Singapura), Desmond Wong dan Pengerusi Jaring, Jamaluddin Mohamad.

Noor Azhuril berkata, program tersebut diharap mengindahkan lagi kawasan Pulau Indah.

Sementara itu Kong Yew berkata, penanaman pokok bakau bukan sahaja merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, tetapi merupakan permulaan kepada projek pemuliharaan alam sekitar yang lebih menyeluruh di kawasan tersebut.

“Kami ingin menjadikan kawasan Pulau Indah dan Pelabuhan Barat sebagai kawasan yang mempunyai ekosistem baik dan mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.