Rata-rata penunggang motosikal yang hadir tersenyum lebar dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak petugas yang mengelolakan program Jom Balik Kampung `Isi Minyak Percuma’ di Stesen Minyak Petron, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Menurut Ketuanya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, sebanyak 500 penunggang motosikal di sekitar parlimen Titiwangsa yang me­rangkumi Zon Kampung Pandan, Zon Keramat dan Zon Kampung Baru berpeluang mengisi tangki minyak motosikal sehingga penuh.

“Penganjuran program membantu rakyat ini memasuki bulan yang keempat dan kami Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa akan terus komited membantu masyarakat setempat sehingga ke akar umbi.

“Walaupun harga minyak kini sudah turun, pihak kami tetap akan belanja penduduk setempat dan anggaplah pemberian ini sebagai satu bonus sempena menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Mohd. Fadil Taib serta exconya, Nor Faizal Emran.

Mengulas lanjut mengenai program yang diadakan, Nazir Hussin berpesan kepada mereka yang pulang ke kampung agar lebih berhati-hati dan memandu dalam keadaan yang selamat.

“Semoga perayaan Aidilfitri yang akan menjelang dapat di­sambut dengan lebih meriah di samping dapat meluangkan masa bertemu dengan saudara-mara yang jauh kerana kesibukan de­ngan kerjaya masing-masing,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Zubir Zakaria berkata, sikap prihatin yang dipamerkan oleh UMNO jelas menunjukkan parti tersebut sentiasa berusaha untuk memenangi hati masyarakat.

“Tidak perlu menunggu tiba­nya Hari Raya Aidilfitri, saya perhatikan gerakan UMNO di sini sangat aktif untuk berbakti kepada penduduk setempat. Jus­teru, saya berharap mereka terus kekalkan usaha ini,” katanya.