Akibat penyakit itu, Mohamad Farhan Aswad Rohaiza Roslee, 22, yang tinggal di kawasan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera, di sini ditumbuhi bintil-bintil kecil yang menyakitkan di muka dan kakinya.

Lebih malang, kesakitan dialami menyebabkan pemuda itu tidak dapat berjalan sehingga perlu dipapah selain kehidupannya kini diurus sepenuhnya oleh ahli keluarga.

Menurut Mohamad Farhan, penyakit kulit berkenaan mula menyerang kaki dan mukanya sejak Mei lalu.

“Bintil-bintil kecil yang me­nyakitkan tumbuh di kaki dan mu­ka saya. Bintil ini tidak gatal sebaliknya menyakitkan. Sekarang kaki dan muka saya menjadi kering kehitaman,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Akibat penyakit yang dideri­tai itu, Mohamad Farhan yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang ais di bandar Gua Musang terpaksa berhenti kerja sekali gus hilang punca pendapatan.

Sementara itu, bapanya, Roslee Ibrahim, 43, berkata, penyakit anak sulung daripada empat beradik itu telah dirujuk ke Hospital Kuala Krai dan doktor pakar mengesahkan anaknya itu menghidap satu penyakit kulit kronik.

Katanya, dia kini terpaksa berulang-alik sekurang-kurangnya se­­bulan sekali untuk ke hospital berkenaan bagi mendapatkan bekalan ubat untuk anaknya.

“Doktor mengatakan anak saya mempunyai peluang untuk sembuh. Jika tidak dirawat secara sempurna anak saya mungkin lumpuh akibat gangguan terhadap sistem sarafnya.

“Bagaimanapun dengan pen­da­patan saya tidak seberapa, di­­tambah dengan saya seorang sahaja menyara keluarga, bagaimana kami mahu membiayai kos rawatan dan perubatan anak saya ini,” katanya yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang.

Orang ramai yang ingin me­ringankan beban pemuda malang ini boleh menghubungi Roslee di talian 019-9631581.