Lelaki itu, Zamrie Md. Akhir berkata, dia mengalami kesukaran untuk bergerak sejak menghidap penyakit tersebut kerana lutut hingga ke bahagian bawah kaki kanannya kian membesar dari sehari ke sehari.

“Keadaan kaki kanan saya ini semakin besar hingga menyukarkan saya untuk berjalan.

“Saya juga terpaksa menahan kesakitan jika berdiri terlalu lama atau berjalan dalam jarak yang jauh.

“Disebabkan penyakit ini, saya tidak dapat bekerja dan kali ter­akhir saya bekerja adalah di sebuah stesen minyak di Pokok Sena pada 2004,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tembaga Timur di sini baru-baru ini.

Zamrie memberitahu, dia bernasib baik kerana jiran-jirannya sudi menghulurkan bantuan dengan memberikan makanan selain sentiasa bertanyakan keadaannya.

“Saya hidup sebatang kara di rumah ini selepas ibu angkat sa­ya, Embun Bashah meninggal du­nia pada 2006 manakala bapa ang­kat, Idris Md. Salleh berpindah ke Perak sebelum meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.

“Sejak kematian ibu, saya terpaksa menanggung kesakitan ini seorang diri dan segala keperluan saya dibantu jiran-jiran termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Tembaga Timur, Abdul Wahab Ramdzan,” ujarnya.

Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan kepada Zamrie boleh menghubungi Pengerusi JKKK Kampung Bukit Tembaga Timur, Abdul Wahab di talian 019-4501640.