Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sikap murni itu mesti terus diamalkan agar negara kekal harmoni malah rakyat dapat hidup dalam keadaan selamat, aman dan makmur.

Katanya, perpaduan kaum yang utuh akan memboleh­kan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Rakyat dan pemimpin juga perlu bersatu menghadapi apa jua keadaan terma­suk fitnah dalam menempuh suasana politik dan ekonomi semasa yang tidak menentu.

“Itu sekali gus dapat memastikan pembangunan negara terus dipacu menuju matlamat Pelan Transformasi Melaka 2050 (TM50) yang mampu memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini malam tadi yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi MCA negeri, Datuk Lim Ban Hong dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

Sementara itu Idris memberitahu, Tahun Baharu Cina boleh dijadikan platform pe­ngukuhan ikatan persahabatan antara kaum dan agama oleh masyarakat negara ini.

“Malaysia sangat unik dan berbeza dengan negara lain. Kita mempunyai suasana keharmonian dikongsikan oleh setiap kaum malah boleh mera­yakan perayaan besar secara bersama tanpa ada sebarang masalah,” tambahnya.

Dalam majlis itu, lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka hadir memenuhi perkarangan tempat letak kereta stadium untuk menikmati pelbagai hidangan menarik disediakan selain bertemu dengan pemimpin secara dekat.