Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau amat rapat dengan Allahyarham sejak dari era dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kemudiannya dalam perjuangan PKR.

Katanya, Allahyarham yang juga Naib Presiden PKR bukan sahaja berdedikasi terhadap tanggungjawabnya dalam pentadbiran kerajaan negeri melibatkan portolio pendidikan dan agama Islam malah turut disenangi segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum.

“Saya sempat menziarahi beliau lewat petang semalam, walaupun dalam keadaan lemah, beliau masih boleh menyambut kedatangan saya dan menggenggam salam saya.

“Saya amat sedih dengan pemergian beliau, semoga rohnya dicucuri rahmat. Saya juga berharap isteri Allahyarham dan keluarga dapat tabah dan redha,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menziarahi jenazah Allahyarham Shaharuddin Baharuddin di rumahnya di Desa Pinggiran Putra di sini malam ini.

Allahyarham Shaharuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Selangor meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.28 petang hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Difahamkan, Shaharuddin mula menerima rawatan di Hospital Putrajaya sejak Selasa lalu, bagaimanapun tidak dapat dipastikan penyakit yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Adibah Ahmad, 57, serta enam orang anak iaitu Mohd. Syazwanuddin, 30; Atiqah Syairah, 29; Atiah Nadzrah, 28; Muhamad Saifuddin, 25; Muhamad Salahuddin, 23, dan Ainun Syafiqah, 18.

Sementara itu, perkarangan rumah Allahyarham di Desa Pinggiran Putra dipenuhi dengan lebih 300 orang para kenalan dan ahli keluarga yang datang menziarahi.

Antaranya, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir dan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis selepas disembahyangkan di Masjid Jamiurrahmah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan tiga pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas. - UTUSAN ONLINE