Ketua Pegawai Eksekutif Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Ope­ration Inc., Ersel Goral berkata, penambahan kapasiti di lapangan terbang milik Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) itu juga selaras dengan operasi lapangan terbang antarabangsa baharu di republik ini iaitu Istanbul Grand Airport bermula hujung tahun depan.

“Sehingga hari ini, ISG mempunyai kapasiti pergerakan trafik udara sebanyak 40 pesawat sejam menerusi satu landasan. Ini akan digandakan kepada 80 pergerakan selepas pengoperasian landasan kedua pada penghujung tahun depan. Peningkatan kapasiti lapangan udara sahaja bagaimanapun tidak memadai, dalam hal ini kita turut memerlukan pertumbuhan kapasiti bagi terminal.

“Kini, kerja-kerja peluasan balai pelepasan terminal domestik sedang giat dijalankan. Ketika ini, bangunan terminal ISG mempunyai kapasiti 33 juta penumpang setiap tahun. Peluasan balai pelepasan terminal domestik ini yang dijangka siap tahun depan akan meningkatkan penumpang kepada 41 juta setiap tahun. Ini membolehkan kita menghadapi pertumbuhan trafik bagi tahun-tahun yang mendatang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and Operation Inc. dan LGM Airport Operations Trade and Tourism Inc., Datuk Azmi Murad.

Mengulas lanjut, Ersel berkata, pihaknya juga bercadang membina terminal penumpang kedua di lapangan terbang itu menjelang 2020 dan dijangka siap pada 2022 yang sekali gus dapat menambah kapasiti sebanyak 24 juta penumpang setahun.

Menurutnya, pengoperasian Istanbul Grand Airport pastinya akan meningkatkan jumlah trafik penumpang ISG kepada lebih 20 peratus terutama dalam menarik penumpang dari destinasi asal serta lokasi ke lokasi. – UTUSAN

Katanya, menerusi lapangan terbang baharu itu, ISG akan menjadi sebuah lapangan terbang bandar raya memandangkan jarak antara ISG dan Pusat Bandar Taksim, di sini adalah kira-kira 40 kilometer (km) berbanding Istanbul Grand Airport iaitu 55 kilometer.

“Kita percaya bukan sahaja penglibatan syarikat penerbangan dapat dipertingkatkan tetapi juga penumpang. Mereka akan lebih cenderung memilih kita dan ini akan mempertingkatkan kadar trafik ISG berbanding beberapa tahun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut menjangkakan sebanyak 31.2 juta penumpang dikendalikan ISG pada tahun ini dengan pertumbuhan hampir lapan peratus menjelang tahun depan dan seterusnya lebih 10 hingga 20 peratus peningkatan trafik bagi 2019 ke 2022.

Berhubung penglibatan syarikat-syarikat penerbangan di ISG, beliau berkata, syarikat penerbangan Dubai, Emirates akan kembali menerbangkan pesawat Boeing 777 secara harian di ISG bermula April tahun depan selepas menghentikan penerbangan pada pertengahan tahun lalu.

Selain itu katanya, ISG juga mengadakan perbincangan secara berterusan dengan tiga pihak dari rantau Eropah Barat dan Asia Barat selain berusaha menarik syarikat dari Rusia serta Ukraine pada tahun depan. - UTUSAN