Namun, sejak sebulan lalu, Ahmad Fauzi, 47, hanya terlantar di rumahnya di Taman Tenggiri di sini akibat tumor otak yang semakin membesar sehingga mengakibatkan dia tidak sedarkan diri.

Dia mula dikesan menghidap penyakit itu sejak 2009 dan menjalani pembedahan pertama pada tahun sama dan keadaannya ber­ansur pulih serta mampu kembali bekerja.

Bapa kepada tiga anak itu sekali lagi terpaksa menerima rawatan pada 2015 apabila penyakit itu berulang, menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan terpaksa mengharapkan bantuan isteri, Azlina Yusof, 47.

Menurut Azlina, sejak diserang sakit untuk kali kedua, suami­nya terpaksa berhenti kerja dan menerima pencen ilat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Pada 29 April lalu, keadaannya bertambah buruk apabila dia langsung tak mampu bergerak, seolah-olah koma dan hanya terbaring di rumah.

“Disebabkan tumor yang semakin besar, Hospital Pulau Pinang (HPP) menangguhkan pembedahan kerana boleh menyebabkan risiko tinggi sekiranya dibuang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Azlina ditemui ketika me­nerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Abu Bakar Sidekh Zainol Abidin.

Tambah Azlina, dia kini be­kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk pendidikan anak-anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya.

Jelasnya, dia menerima bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM350 sebulan untuk perbelanjaan harian, selain pencen ilat suaminya, namun setiap bulan dia membelanjakan hampir RM700 untuk susu dan lampin pakai buang.

Sementara itu Abu Bakar berkata, beliau akan merujuk kepada ZPP untuk mendapatkan sumbangan katil khas yang lebih selesa untuk kegunaan Ahmad Fauzi.

Selain itu, beliau juga menghulurkan sumbangan peribadi dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban Azlina, lebih-lebih lagi dalam menghadapi Ramadan.

Mereka yang ingin membantu Azlina boleh menghubunginya di talian 011-39453800.