Mohd. Roffee Mohamad (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hamid Gurkha pada Program Negaraku Merdeka Sehati Sejiwa sempena Kembara Merdeka Negaraku 2017 di Komuniti 1 Malaysia, Kelang, Selangor, semalam.

Pengalaman perit itu diimbau kembali oleh bekas pelakon komedi popular, Hamid Gurkha yang mula melihat kelibat askar Jepun semasa berusia 9 tahun.

Malah, Hamid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, 85, memberitahu, terdapat mayat yang terpaksa dikebumikan tanpa kain kafan.

“Selama tiga tahun dan lapan bulan rakyat menderita bahkan pernah kehabisan sumber makanan seperti ubi keledek, pisang dan keladi yang menjadi bekalan setiap hari.

“Lebih malang, apabila as­kar Jepun berundur, pengganas komunis yang juga digelar ‘Bintang 3’ bertindak lebih dahsyat termasuk membunuh penduduk tempatan yang di­syaki bersubahat dengan Jepun,” katanya.

Beliau ditemui selepas se­si Bicara Tokoh dalam Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Negaraku 2017 (KMN17) di Komuniti 1 Malaysia, Kampung Batu 4, Jalan Kapar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Koordinator Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Azhar Ayob serta Ketua Konvoi KMN17, Mohd. Roffee Mohamad.

Jelajah yang memasuki hari ke-14 melibatkan sebanyak 107 peserta menaiki 18 pacuan empat roda serta 30 motosikal berkuasa tinggi mengunjungi dua lokasi di negeri ini iaitu Kapar dan Kuala Langat.

Hamid yang pernah ber­khidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selama tujuh tahun menyeru rakyat di negara ini agar sentiasa taat pada agama dan bangsa.

“Janganlah biarkan negara dijajah semula kerana peristiwa dahulu perlu sentiasa menjadi iktibar,” jelasnya.