“Seksaan yang terakhir itu adalah yang paling teruk untuk saya sehingga saya berharap agar saya mati. Waktu itu saya hanya fikir mahu mati sekarang juga. Saya mahu rehat daripada semua seksaan ini.”

Detik-detik hitam itu diceritakan oleh salah seorang pelarian Syria, A. Kassah, 32, yang kini mendapatkan perlindungan di negara ini.

Menurutnya, dia diseksa kerana seorang Sunni Muslim dan berasal dari daerah Daraya yang kebanyakan penduduknya daripada golongan Sunnah yang turut memulakan demonstrasi menggesa pihak berkuasa tempatan menukar pegawai-pegawai yang makan rasuah di daerah itu.

Kassah turut dituduh oleh pihak tentera sebagai seorang pengganas yang berusaha menaikkan kereta kebal ke atas sebuah bangunan, selain membunuh askar-askar Assad.

“Saya ditangkap pada akhir 2013 ketika melakukan demonstrasi aman membawa bunga dan minuman untuk pihak tentera yang berkawal. Tetapi pihak tentera telah menyambut pemberian kami dengan melepaskan tembakan bertalu-talu sebelum saya ditangkap,” ujarnya.

Katanya, keadaan di dalam penjara juga sangat teruk kerana bilik penjara yang pada asalnya hanya untuk seorang tahanan, disumbat dengan lapan hingga sembilan orang tahanan sehingga ada yang meninggal dunia akibat kelemasan.

“Ada juga beberapa bilik penjara berukuran 3 meter kali 3 meter, diletakkan sehingga 80 orang tahanan. Perkara seperti ini turut dilakukan ke atas tahanan-tahanan wanita,” tambahnya.

Ketika beliau dipenjara, isteri dan dua orang anak lelakinya te­lah melarikan diri ke kampung ibu bapanya dan bersembunyi di situ selama setahun sehingga Kassah dibebaskan pada akhir 2014.

Menurutnya, abang beliau telah memberikan wang berjumlah US$2,000 kepada hakim mahkamah tentera untuk melepaskannya tetapi hakim menetapkan tempoh pelepasan hanya untuk empat hari dan dikehendaki kembali semula ke penjara selepas itu.

Dalam tempoh empat hari itulah beliau bergegas pulang ke kampung untuk berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya, sebelum memutuskan untuk bersama-sama melarikan diri ke Lebanon.

“Apabila mendapati saya tidak kembali ke penjara setelah empat hari, pihak tentera telah menangkap dua orang abang saya dan memasukkan mereka ke dalam penjara,” katanya dalam nada sebak dan kesal.