Mohd. Towir Sajuri, 80, dan isterinya, Siti Muntingah Sardi, 69, mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang membantu mendapatkan rumah itu.

"Alhamdulillah, kami dimaklumkan oleh Datuk Fasiah permohonan rumah baharu kami telah diluluskan dan bakal dibina dalam masa terdekat," kata Siti Muntingah kepada pemberita.

Majlis pecah tanah pembinaan rumah tersebut disempurnakan sendiri Mohd. Fasiah.

Yang turut di hadir Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Saufi Zakaria.

Pada 31 Julai tahun lalu, kediaman warga emas itu hangus terbakar yang turut mencederakan anaknya, Mohd. Nazif Saurani, 49.

Bercerita lanjut, Siti Muntingah berkata, selain bakal memiliki rumah baharu, dia sekeluarga juga bersyukur kerana Mohd. Nazif sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan melecur di muka dan kaki.

Sementara itu, Mohd. Fasiah berkata, rumah yang bakal dibina itu merupakan hasil peruntukan dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah menterinya, Tan Sri Noh Omar.

"Rumah itu nanti mempunyai tiga bilik dan satu bilik air dengan kos pembinaan RM50,000, yang dilaksanakan sepenuhnya pasukan Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam.

"Pembinaan rumah ini membuktikan Kerajaan Persekutuan mengotakan janji dan mengambil berat isu rakyat terutamanya penduduk di kawasan luar bandar," katanya. - UTUSAN ONLINE