HUSNI WATI (kiri) mendukung Nazhan Naim yang mengalami ekzema kronik sambil ditemani suaminya, Nazri Mazlan ketika ditemui di Kuantan, semalam.

Sebelum ini, pasangan ber­kenaan nyaris kehilangan anak kedua mereka, Nur Dalili, 2, yang menghidap ekzema kronik selepas penyakit itu merebak ke bahagian paru-paru kanak-kanak tersebut.

Husni Wati berkata, dia dan suaminya kini menempuh ujian berganda apabila bayi mereka berusia lapan bulan, Nazhan Naim juga disahkan menghidap penyakit sama menyebabkan kulit di seluruh badannya melecet.

“Anak kedua saya mengalami masalah paru-paru kesan pe­nyakit itu malah pernah melalui saat getir apabila jantungnya gagal berfungsi selama tiga minit, namun berjaya diselamatkan.

“Nur Dalili masih meneruskan rawatan dan perlu mengambil susu khas selain produk kesihatan tambahan bagi memastikan dia benar-benar pulih,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Husni Wati, penyakit ekzema dihidapi Nazhan Naim pula dikesan ketika berusia sebulan selepas timbul tompok ke­merah-kemerahan pada bahagian bawah mata anak bongsunya itu.

“Kini badannya menjadi ke­merah-kemerahan dan melecet selain terdapat banyak kesan luka selepas digaru menyebabkan kami terpaksa membedung­nya. Setiap malam dia menangis mungkin kerana terlalu gatal atau pedih,'' katanya yang mempu­nyai seorang lagi anak perempuan berusia sembilan tahun.

Sementara itu, Nazri berkata, setiap bulan dia memperuntukkan RM3,000 untuk membeli susu khas yang disarankan pihak hospital selain produk kesihatan tambahan untuk kedua-dua anaknya itu.

Katanya, beban keluarga mereka berkurangan apabila menerima bantuan bulanan berjumlah RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat.