Kolesterol adalah bahan penting yang dihasilkan oleh hati. Bahan ini memainkan peranan yang sangat berguna untuk menyokong fungsi sel badan dan memproses pelbagai molekul biokimia di dalam tubuh.

Namun, masalah mungkin timbul apabila kuantitinya didapati berlebihan di dalam tubuh. Ini disebabkan pengumpulannya yang tertumpu di salur darah, dan akhirnya membentuk plak.

Pembentukan plak ini akan menyempitkan arteri, dan menyekat aliran darah. Akibatnya bekalan oksigen ke jantung, otak dan organ tubuh yang lain akan berkurangan. Sekatan pengaliran darah dalam tubuh manusia boleh mengakibatkan serangan jantung atau strok.

Maka, pemantauan tahap kolesterol secara proaktif adalah amat mustahak, terutama bagi pesakit yang mempunyai kecenderungan untuk diserang sakit jantung atau strok.

Buat masa ini, pengukuran tahap kolesterol dalam tubuh adalah menggunakan teknik invasif yang mengambil sampel darah pesakit. Sampel ini kemudiannya diproses menggunakan kaedah bahan kimia untuk mendapatkan tahap kolesterol pesakit.

Prosedur pengambilan darah ini adalah invasif dan pesakit yang menjalani prosedur ini terdedah kepada risiko mendapat lebam atau hematoma. Prosedur invasif sebegini juga tidak sesuai untuk pesakit diabetes. Oleh itu, teknik bukan invasif yang boleh membantu menentukan tahap kolesterol dalam darah perlu diterokai dan diperkenal.

Untuk mengatasi kelemahan ini, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya, diketuai Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan berjaya menghasilkan sebuah inovasi yang dinamai myBIA. Perkataan ‘BIA’ dalam nama sistem ini diambil dari singkatan bio-impedance analysis atau analisis galangan biologi atau tubuh manusia.

“Secara asasnya, myBIA merupakan sebuah sistem analisis galangan tubuh manusia dalam bentuk peranti mudah alih untuk digunakan bagi memantau komposisi elemen tertentu di dalam tubuh pengguna, termasuklah kolesterol, yang boleh dikorelasikan dengan pengurusan simptom dan penyakit secara lebih menyeluruh,” kata Dr. Fatimah ketika ditemui Mega Sains baru-baru ini.

Dalam pada itu menurut pakar perubatan geriatrik dari Fakulti Perubatan UM, Prof. Dr. Tan Maw Pin, sistem yang dibangunkan terdiri daripada komponen perkakasan dan modul perisian.

Komponen perkakasan yang dipasang di dalam kotak bersaiz 8 sentimeter (cm) x 5 cm dan berketebalan 2 cm, mampu mengukur parameter galangan pada 5 kiloHertz (kHz), 50 kHz, 100 kHz dan 200 kHz dengan arus keluaran yang amat rendah nilainya, iaitu kurang daripada 1 mA.

“Berbeza dengan peranti pengukuran elemen dalaman tubuh yang lain, myBIA adalah peranti yang bersifat bukan invasif. Ukuran komposisi tubuh menggunakan myBIA boleh diperolehi dalam masa tiga minit sahaja, dengan hanya menyambungkan elektrod peranti ke bahagian kulit pengguna di pergelangan tangan dan kaki. Sistem ini langsung tidak menggunakan jarum atau apa jua peralatan lain bagi mengambil sampel dari tubuh.

“Pengukuran kolesterol lazimnya adalah menggunakan uji kaji kimia ke atas sampel darah yang diambil daripada pesakit, dan proses ini mengambil masa yang agak panjang dan rumit, terutama jika melibatkan pesakit yang telah berusia,” katanya yang juga merupakan penyelidik bersama dalam kumpulan tersebut.

Komposisi tubuh merupakan salah satu cara yang digunakan sebagai penanda aras dalam menentukan tahap kesihatan tubuh individu. Komposisi tubuh terdiri daripada tiga bahagian utama, iaitu taburan jisim tubuh, termasuk tisu otot dan lemak; kandungan air; dan nilai konduktiviti elektrik bagi tisu.

MyBIA mampu memberikan penilaian komposisi tubuh yang tepat melalui analisis nilai galangan tubuh yang dibuat pada masa sebenar (real-time) bagi mendapatkan tahap kolesterol dan glukosa di dalam badan.

Dalam pada itu menurut seorang lagi ahli kumpulan penyelidik berkenaan, Dr. Mas Sahidayana Mohktar dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, peranti berkenaan boleh membantu dalam proses diagnosis penyakit, dan mengukur keberkesanan rawatan yang diterima, terutama yang memberi kesan kepada nilai galangan tubuh.

“Rawatan yang dimaksudkan termasuklah rawatan pemulihan, iaitu pergerakan fizikal seperti bersenam dan latihan fisioterapi.

“Secara tidak langsung ini membantu pengamal perubatan untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat tambahan yang didapati menerusi penilaian komposisi tubuh pesakit,” katanya.