Hasil daripada tinjauan Utusan Online, orang ramai berpendapat, denda di bawah sistem AWAS itu boleh menyebabkan rakyat terbeban dengan perbelanjaan tambahan.

Salah seorang yang ditemui, Dansyah Bahadun, 65, berpandangan, denda dan saman yang dikenakan mengahalang bagi rakyat untuk berdaya saing dalam mencari pendapatan yang lebih.

“Denda dan saman yang dikenakan memang membebankan bagi sesetengah orang. Saman itu tetap saman, dan kalau tidak dibayar akan dibawa ke mahkamah. Jadi, bayangkan kalau pesalah itu mempunyai pendapatan yang kurang dengan beban saman dan perbelanjaan yang lain lagi, itu sudah semestinya membebankan.

“Jadi, macam mana kita nak meningkatkan daya saing untuk mencari pendapatan yang lebih. Maka, saya merasakan saman dan denda yang dikenakan perlulah bersesuaian dengan ekonomi sekarang,” ujarnya.

Bagi Ooi Aik Tong, 26, pula denda dan saman melalui sistem AWAS itu memberi kesan kepada perbelanjaan harian.

“Saya merasa terbeban dengan saman dan denda yang dikenakan tambahan dengan gaji yang tidak cukup.

“Saya juga dalam masa yang sama perlu membayar keperluan lain. Jadi, saya merasa saman yang ada tidak bersesuaian.

“Lagipun, had laju yang ditetapkan di jalan raya adalah rendah lebih kurang 120km sejam, jadi kadang-kadang tanpa sedar, kita akan melebihi had laju tersebut,” jelasnya yang juga merupakan seorang pekerja swasta.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Zaminhuri Alias, 61, berkata dia tidak terkesan dengan saman dan denda yang dikenakan di bawah sistem ini, namun denda itu lebih membebankan pemandu teksi di lapangan terbang.

“Saya hanya memandu teksi di kawasan bandar, jadi saya tidak merasa terbeban kerana tiada kesalahan trafik yang dilakukan.

“Namun, saya bersimpati dengan pemandu teksi di lapangan terbang kerana mereka sentiasa mengejar masa dan mungkin melakukan kesalahan trafik,” katanya.

Jelasnya, dia merasakan pihak berkuasa juga perlu memberi lebih tumpuan kepada kesalahan memakir kenderaan di tapak kenderaan yang tidak dibenarkan.

“Saya musykil mengapa pihak berkuasa tidak mengetatkan lagi undang-undang terhadap kesalahan meletak kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Setiap kali saya hendak menghantar penumpang, pasti ada kenderaan lain yang meletakkan kenderaan di situ yang khusus untuk teksi sahaja. Kadang-kadang keadaan sebegitu menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Jadi, saya merasakan kesalahan sebegini perlu diketatkan juga sepertimana penguatkuasaan untuk kesalahan lalu lintas yang lain,” katanya.

Abd Nasir Sabturani, 54, pula berpendapat bahawa saman dan denda itu tidak membebankannya selagi mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Saya merasakan denda dan saman ini tidak membebankan kerana peraturan yang ditetapkan semestinya perlu dipatuhi.

“Jadi, ia mungkin membebankan bagi mereka yang selalu melakukan kesalahan jalan raya,” ujarnya.

Seorang lagi pemandu teksi yang ingin dikenali sebagai Ramish, 50, merasakan pesalah jalan raya sememangnya wajar dikenakan denda dan saman.

“Sesiapa yang salah itu sememangnya bersalah. Jadi, mereka tidak boleh salahkan sesiapa.

“Kalau mereka tidak mahu disaman, patuhilah peraturan,” katanya.

Sistem AWAS yang mula berkuatkuasa pada 1 April itu memberi tumpuan terhadap dua kesalahan lalu lintas iaitu kesalahan melanggar lampu isyarat serta memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Melalui pelaksanaan sistem ini, pesalah akan dikenakan amaran dan tindakan yang bakal diambil adalah berdasarkan sistem demerit.

Mata demerit yang diberikan adalah berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan atau dikompaunkan.

Selain itu, pesalah juga berdepan dengan saman minimum RM 150 di bawah Kamera Penguatkuasaan Automatik (AES).

Bagi pemegang lesen kompeten (CDL), 20 mata pertama pesalah akan diberikan amaran, 20 mata kedua gantung kali pertama selama enam hingga lapan bulan dan 20 mata ketiga gantung kali kedua selama lapan hingga 10 bulan.

Untuk 20 mata keempat, lesen pesalah akan digantung kali ketiga selama 10 hingga 12 bulan dan bagi 20 mata kelima, lesen pesalah akan dibatalkan dan pemilik perlu memohon lesen memandu yang baharu.

Sekiranya pesalah memandu ketika lesen memandu digantung atau dibatalkan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM 3000 atau tidak melebihi RM 10,000 atau dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun.

Sistem ini dilaksanakan bersama Sistem Pemberian Ma­ta Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dan AES bertujuan supaya pemandu memandu dengan lebih berhemat bagi mengurangkan kadar kemalangan. -UTUSAN ONLINE