Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, kesedaran masyarakat Orang Asli di negeri ini tentang kesihatan diri masih rendah terutamanya di daerah ini.

Bagaimanapun, katanya, dengan pengajuran Kem Kesihatan Orang Asli bersama Pakar Perubatan Keluarga oleh Jabatan Kesihatan negeri telah berjaya menarik ramai penduduk Orang Asli untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Penduduk Orang Asli begitu takut dengan jarum suntikan dan ubat-ubatan.

“Namun, apabila pegawai kesihatan turun padang memberi kesedaran penjagaan kesihatan mereka mulai faham tentang kepentingan itu,” katanya ketika berucap dan merasmikan program itu di Dewan Orang Ramai Pos Brooke di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Junaidi Djoharnis dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bandar (KKB) Gua Musang, Dr. Azura Mat Seman.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah pemeriksaan kesihatan, demonstrasi pemakanan sihat, pameran kesihatan dan kaunseling pemakanan.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Noraini Hussin, 40, berkata, penduduk Orang Asli gembira apabila mendapat bantuan pemeriksaan di penempatan mereka.

Katanya, mereka tidak lagi perlu bersusah payah keluar ke bandar Gua Musang yang jaraknya hampir 100 kilometer. - UTUSAN ONLINE