Nurhanani, 30, ketika ditemui berkata, dia masih dalam perasaan bercampur baur kera­na anak bongsunya, Muhammad Daniel Mahadhir masih belum pulih sepenuhnya daripada demam dan jangkitan kuman di paru-paru atau pneumonia sejak lebih dua minggu lalu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun mengakui, hadiah kereta tersebut adalah sesuatu yang tidak dijangkakan dan telah membawa kegembiraan buatnya dan keluarga.

‘‘Anak saya yang berusia 10 bulan terpaksa dimasukkan ke wad selama enam hari dan selepas keluar, dia masih lagi demam, ini yang membuatkan saya sangat risau.

‘‘Namun, saya sangat bersyu­kur apabila memenangi kereta ini, tetapi apa yang paling pen­ting bagi saya ketika ini adalah anak saya cepat sembuh,” katanya yang masih dalam kea­daan tidak percaya memenangi kereta baharu.

Menurut Nurhanani, dia menghantar sebanyak 10 borang penyertaan peraduan itu menerusi suratkhabar setelah diberi galakan oleh suaminya, Mahadhir Jemain, 39.

‘‘Saya sebenarnya ditugaskan untuk memantau kebersihan di MSAM 2018 ini, jadi di situ caranya saya dapat tahu tentang peraduan ini selepas bekerja dengan kakitangan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

‘‘Pada mulanya saya agak keberatan tetapi setelah diberi galakan oleh suami, saya pun ambil keputusan untuk mencuba nasib,’’ ujarnya.

PNB menawarkan Hyundai Ioniq Kappa 1.6 HEV Plus pada majlis perasmian MSAM 2018 yang dimenangi oleh Nurhanani manakala sebuah kereta To­yota Vios 1.5 GX (AT) akan menemui pemiliknya dalam majlis penutup pada 25 April ini.

Selain itu, sepanjang program selama tujuh hari tersebut, PNB turut menyediakan hadiah utama berupa sebuah rumah teres di Bandar Universiti Pagoh yang dibangunkan oleh Sime Darby Property berharga RM375,000.