Wanita tersebut, Raja Nurliza Raja Daud, 43, sudah hampir tiga bulan terlantar kerana kecede­raan di bahagian kepala akibat kemalangan selepas motosikal yang diboncengnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda pada 12 Julai lalu.

Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri perjumpaan bersama guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin Pengkalan Chepa.

Lebih malang apabila suaminya, Dakhlan Yusof meninggal dunia pada 31 Ogos lalu akibat komplikasi kerana sakit kencing manis ketika Raja Nurliza masih dirawat di Hospital Raja Perem­puan Zainab II (HRPZII).

Ibu wanita tersebut, Mek Som Awang Ahmad, 67, berkata, anaknya yang hanya seorang suri rumah itu masih tidak diberitahu mengenai kematian suaminya kerana bimbang akan menjejaskan kesihatannya.

“Arwah menantu saya sudah dua tahun tidak bekerja sebagai pemandu lori kerana penyakit ken­cing manis hingga sebahagian besar isi kedua-dua pahanya dibuang.

“Semasa Dakhlan meninggal dunia, anak saya masih berada di hospital dan apabila dia pulang ke rumah 11 September lalu kami maklumkan kepadanya bahawa suaminya tiada di rumah kerana dijaga oleh keluarga mentua di Kampung Binjai,” katanya di sini.

Mek Som ditemui semasa lawatan guru-guru Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Kemumin yang diketuai Setiausaha Kebajikan Unit Hal Ehwal Murid, Norizan Amin dan Guru Kanan Sains dan Matematik, Nor Azizah Md. Nordin.

Menurut Mek Som, apa yang membimbangkannya kini adalah masa hadapan anak Raja Nurliza terutama yang masih bersekolah iaitu Nik Muhammad Fikri, 17, yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini manakala Nik Nor Farah Syuhada, 11, berada di tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kemumin.

Katanya, dua lagi anak Raja Nurliza iaitu Nik Nor Fatin, 23, berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa berkorban sepenuh masa menjaga ibunya manakala Nik Muhammad Faez, 19, pula yang merupakan pelajar tahun satu Diploma Herba dan Hasilan Semula Jadi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong, Perak menangguhkan pengajian buat sementara waktu sejak Julai lalu.

Suami Mek Som, Raja Daud Raja Ahmad, 76, hanya bekerja sebagai pemandu van.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun Nik Nor Fatin Dakhlan 03011-41-00009596-0 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Raja Nurlida Raja Daud (017-9340645).