Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Sri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, semangat kesukarelawan dan kesungguhan dalam pelbagai keperluan yang ditunjukkan oleh nelayan negeri ini amat membanggakan.

Menurutnya, kekuatan skuad khas Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) di negeri ini perlu dijadikan penanda aras kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh negara.

"Nelayan Kelantan bukan sahaja gigih dan cekal mencari rezeki di laut tetapi aktif membantu menggunakan kelengkapan bot mereka untuk bersama membantu agensi lain membatu mencari dan menyelamat mangsa lemas di laut.

"Malah setiap kali berlakunya banjir kumpulan ini turut bersama membantu pemimpin setempat dan agensi penyelamat memindahkan mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan sukarelawan LKIM Kelantan di Tok Aman Bali Resort, dekat sini, hari ini.

Seramai 180 anggota Kukenal turut disampaikan sijil penghargaan, jaket keselamatan dan bakul makanan. - UTUSAN ONLINE