Setiap hari tanpa gagal, sejak kapal Nautical Aliya memulakan pelayaran 3 Februari lalu, azan subuh pasti berkumandang mengejutkan para sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan Malaysia, Food Flotilla for Myanmar.

Melalui pembesar suara, suara­ bilal mengalunkan azan pasti menjentik lena para sukaralewan yang mengikuti misi berkenaan.

Solat berjemaah setiap lima waktu, solat hajat, zikir munajat, sesi tazkirah dan bacaan qunut Nazilah merupakan amalan wajib yang dilakukan bagi menghidupkan elemen kerohanian di dalam kapal Nautical Aliya ini.

Anjung kawalan yang merupakan kawasan paling luas di dalam kapal menjadi ruang solat berjemaah untuk para sukarelawan menadah tangan memohon pada Allah agar perjalanan misi ini selamat daripada sebarang ancaman.

Selepas selesai menunaikan solat, aktiviti para sukarelawan diteruskan dengan masing-ma­sing melaksanakan tugas yang diberi mengikut kumpulan, an­taranya ada kumpulan yang ber­peranan membantu tugas di bahagian dapur, menjaga kebersihan dan juga keselamatan kapal.

Selain itu, di atas kapal ini ju­ga bagi mengelakkan rasa bosan, pelbagai aktiviti direncana bagi memastikan waktu para sukare­lawan diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Setiap petang, dek utama di tingkat satu bertukar menjadi ka­wasan kecergasan apabila pa­ra sukarelawan akan melakukan senaman ringan, malah mereka juga bermain bola sepak di situ.

Selain itu, kapten kapal, Mohamad Firdaus Faisal Mohamed juga membenarkan para sukarelawan bermain ping-pong di atas anjung kawalan, bahkan beliau dan kru kapal bersedia memberi penerangan kepada sukarelawan yang ingin mengetahui selok-belok kapal berkenaan.

Pasukan perubatan turut memainkan peranan menyediakan aktiviti kepada para sukarelawan, antaranya latihan bantuan pernafasan dan kecemasan bagi mengisi masa lapang.

Sehingga kini, 10 hari pelayaran dari Selat Melaka sete­rusnya ke Laut Andaman dan kini di Teluk Bengal, masa para sukarelawan tidak terbuang dengan sia-sia.