Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin berkata, fokus hanyalah kepada anak-anak Eduar yang masih bersekolah sahaja kerana tanggung jawab bantuan perumahan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, beliau menafikan pihaknya lepas tangan dalam isu tersebut kerana Eduar sendiri memilih untuk tidak menyalurkan masalah dihadapi kepada pihak berwajib kerana bimbang dengan statusnya selaku pemastuatin tetap.

“Setelah kisah mengenai Eduar ini tular, JKM, ICU dan UMNO Bahagian Klang mengambil inisiatif turun padang menemui sendiri keluarga ini. Masalah kesusahan mereka ini tidak pernah dimaklumkan menyebabkan bantuan tidak dapat dihulurkan.

“Puncanya kerana Eduar me­rupakan pemastautin tetap tetapi semakan kita mendapati anak-anaknya adalah warganegara dan masih bersekolah. Ini yang kita akan cuba bantu dengan sebaik mungkin,” katanya ketika mengunjungi keluarga itu di sini hari ini.

Kisah Eduar yang menghuni bawah jambatan di Jalan Kem, dekat Pelabuhan Klang bersama 17 ahli keluarganya sejak lima tahun lalu menjadi tular sehingga pelbagai pihak menyalahkan pihak berkuasa kerana dikatakan tidak membantu.

Dalam pada itu Eduar membe­ritahu, dia yang berasal dari Riau, Indonesia, datang ke negara ini pada 1979 untuk mencari rezeki sebelum bertemu jodoh dengan wanita warga tempatan, Azizah Busu.

Namun katanya, disebabkan kesempitan hidup, dia yang bekerja sebagai buruh terpaksa menjadikan jambatan itu sebagai tempat berteduh kerana tidak mampu untuk menyewa rumah yang lebih selesa.

“Saya tidak mahu bersikap meminta-minta selagi masih mempunyai tenaga untuk bekerja sebagai buruh kontrak namun tetap menerima bantuan jika ada pihak yang sudi memberi,” katanya.