Hal itu menjadikan lorong berkenaan yang sebenarnya adalah salah satu lorong di Kampung Bukit Naga, Shah Alam menjadi popular sekelip mata.

Imej peta maya itu kemudiannya disebarkan oleh pengguna media sosial setelah membuat rujukan silang ke aplikasi pemetaan lain, yang turut memaparkan lorong yang asalnya tidak bernama itu, dengan nama sedemikian.

Tinjauan Utusan Online ke lokasi tersebut mendapati nama jalan tersebut palsu dan keadaan itu telah menyebabkan penduduk tidak duduk diam apabila menerima mesej pertanyaan daripada rakan-rakan tentang perkara tersebut.

Nama jalan palsu

Bersama Ketua Kampung Bukit Naga, Buang Ismail (kiri) sewaktu tinjauan ke jalan kampung yang diberi nama jelik dan lucah, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Ketua kampung Bukit Naga, Buang Ismail berkata, tidak pernah wujud nama jalan seumpama itu di kampung berkenaan.

“Dengan memberi nama yang jelik sebegitu, secara tidak langsung memburukkan penduduk dan kampung ini.

“Jadi saya berharap orang ramai yang menerima imej itu, berhentilah daripada menyebarkannya kerana paparan itu palsu,” katanya.

Kampung Bukit Naga merupakan salah sebuah kampung yang terletak di Seksyen 32, Shah Alam di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kampung ini mempunyai penduduk seramai 9,780 orang dengan 99 peratus daripadanya adalah berketurunan Melayu.

Sementara itu pesara kerajaan, Abdul Malek Husin mengakui agak terkejut apabila diberitahu bahawa lorong tempat dia tinggal sejak 25 tahun dahulu ‘diberi’ nama sebegitu.

“Perbuatan ini memang melampau. Saya tidak dapat bayangkan apa tujuan orang buat macam ni kepada kami,” kata beliau.

Setakat berita ini ditulis, nama jalan palsu itu sudah dipadamkan dari Google Maps, namun nama jelik dan lucah itu masih boleh dijejaki pada aplikasi e-hailing. - UTUSAN ONLINE