Wanita warga emas yang lebih dikenali sebagai ‘Mok Nab’ ini memproses pucuk daun nipah kerana masih mendapat tempahan da­ripada kalangan yang menggemari rokok daun.

Katanya, pendapatan daripada pekerjaan tersebut tidaklah besar sekitar RM5 sehari namun itu sudah memadai baginya untuk menambah sedikit pendapatan bagi menampung hidup seharian.

“Dulu mudah, pokok nipah banyak, tumbuh di sekitar pantai dekat rumah tetapi sekarang susah nak dapat, saya kena minta anak pergi ambil daun ini. Untuk menyiat daun ini juga memerlukan kemahiran, tidak ramai yang pandai buat lagi.

“Selepas diproses daun ini akan digunakan untuk memba­lut tembakau dan rokok ini mendapat permintaan yang tinggi di kawasan kampung kerana harganya murah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mok Nab berkata, walaupun permintaan terhadap daun tersebut semakin berkura­ngan tetapi dia akan tetap akan meneruskannya sekurang-ku­rang­nya bagi mengisi masa lapang.

Tambahan pula katanya, se­perti golongan warga emas yang lain, mereka hanya ingin meneruskan kehidupan pada usia senja ini, tenang tanpa menyusahkan sesiapa.

“Selain memproses daun nipah untuk dijadikan pemba­lut rokok, saya juga berniaga air secara kecil-kecilan. Dulu saya buka warung, sekarang tidak mampu lagi untuk buat kerja berat begitu,” katanya.