Menurut ibunya, Zainon Mohd. Zin, 34, kepala anaknya mempu­nyai lebihan cecair sehingga menyebabkannya membesar sejak dilahirkan pada 2013.

Jelasnya, doktor yang me­ra­wat anak bongsunya selepas dilahir itu mengesahkan Mohd. Airel Izhar menghidap penyakit dikenali hydrocephalus yang menyebabkan saiz kepalanya lebih besar daripada bayi biasa.

“Ketika mengandungkan Airel, doktor tidak mengesan sebarang keganjilan dalam kan­dungan saya, namun naluri seorang ibu dan saya tahu anak yang saya kandungkan tidak sama seperti bayi lain.

“Saya melahirkan Airel secara normal dengan berat 3.13 kilogram dan ketika itu doktor memaklumkan kepada saya bahawa Airel terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (ICN) kerana me­ngalami komplikasi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mene­rima lawatan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di rumah­nya di sini hari ini.

Menurut Zainon lagi, sewaktu dilahirkan, anaknya terpaksa ditahan di ICN lebih sebulan dan doktor pernah mencadangkan agar Mohd. Airel Izhar dibedah bagi membuang lebihan cecair di kepalanya, namun dia dan suami tidak sanggup untuk mengambil risiko tersebut.

“Hampir setahun anak saya tidak mampu bergerak dan memberi sebarang reaksi walaupun lapar dan selepas menjalani rawatan fisiologi di Hospital Daerah Segamat (HDS), anak saya menunjukkan perubahan positif,” ujarnya.

Katanya, anak bongsunya itu hanya minum susu formula khas yang dimasukkan melalui tiub pada hidung­nya setiap empat jam sekali dan setiap tiga atau empat hari sekali, dia perlu menukarkan tiub tersebut selain anaknya itu perlu mengambil enam jenis ubat sehari.

Sementara itu, suami Zai­non, Isa Othman, 48, berkata, dia ha­nya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Tenang Stesen di sini dan terpaksa membelanjakan kira-kira RM500 sebulan untuk kos perubatan dan rawatan anaknya itu.

Dia bersyukur apabila anaknya imenerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baitulmal masing-masing sebanyak RM300. yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya.

“Doktor beritahu penyakit ini sukar untuk disembuhkan, namun saya tetap percaya pada kete­ntuan Allah SWT untuk melihat anak saya dapat membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.