Pemikiran sempit seperti itu sepatutnya sudah lama hapus, kerana kerja-kerja amal tidak harus ada sempadan negara, bangsa dan agama.

Itu juga yang menjadi panduan kepada seramai 37 orang pelajar perubatan, farmasi dan sains kesihatan bersekutu Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) ketika menjayakan Misi Prihatin Komuniti Pascagempa Bumi (Peace) Nepal 2017, di Kathmandu pada 13 hingga 18 Julai lalu.

Menariknya, Peace Nepal 2017 adalah misi antarabangsa tahun kelima anjuran kumpulan pelajar universiti berkenaan selepas misi kemanusiaan di Kemboja pada 2013; Vietnam (2014); Pekan Baru, Indonesia (2015); dan Vientiane, Laos pada tahun lalu.

Misi tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dalam menguruskan program kesukarelawan dan kemanusiaan, yang menjadi sebahagian penting dalam falsafah pendidikan untuk melahirkan ahli profesional bidang perubatan dan khidmat kesihatan yang memiliki nilai kepimpinan, kompetensi, keusahawanan dan daya tahan yang tinggi.

Ketua misi, Ahmad Muizuddin Amir Malik berkata, misi kemanusiaan pascagempa bumi di Nepal kali ini anjuran Twenties for Smileys (TFS), projek kemanusiaan bawah Majlis Perwakilan Pelajar.

Katanya, seperti namanya, TFS dianggotai anak-anak muda lingkungan umur 20-an dengan membawa misi bantuan untuk mencipta senyuman di wajah insan-insan yang kurang bernasib baik.

Tahun ini, mangsa gempa bumi 2015 di Kathmandu dipilih sebagai sasaran penerima bantuan.

“Sepanjang tempoh misi tersebut, pelbagai aktiviti bantuan di lapangan telah berjaya dilaksanakan termasuk klinik bergerak, rawatan dan pemeriksaan kesihatan pascagempa bumi, program pendidikan dan penyediaan panel solar penjana elektrik untuk membekalkan air.

“Selain itu, kami juga mengedarkan kit bantuan kepada 150 keluarga yang mengandungi makanan dan keperluan harian, serta pengedaran kit musim sejuk kepada 300 keluarga,” katanya yang juga pelajar tahun dua, program perubatan CUCMS.

Turut terlibat dalam misi tersebut empat pensyarah dan dua kakitangan CUCMS, iaitu pakar perubatan bencana dan pakar anestetik, Prof. Madya Dr. Mohamed Ikram Mohamed Saleh; pakar perubatan keluarga Dr. Hazian Hamzah; pensyarah farmasi, Ahmad Rashidi Mohamed Tahir; dan pensyarah bidang pengurusan Prof. Madya Mohamad Saidy Ismail.

Selain itu, dua profesor bidang psikologi iaitu Prof. Dr. Rosnah Ismail dan Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub yang menyertai misi untuk membuat penyelidikan khas di lapangan.

Dalam pada itu menurut, Ahmad Muizuddin, sejumlah RM150,000 wang sumbangan dan bantuan berjaya dikumpulkan oleh pelajar melalui berbagai aktiviti penjanaan dana sejak enam bulan lalu untuk misi di Nepal itu.

“Kemuncak program misi ini adalah pemeriksaan kesihatan di Kelab Naya Bazaar yang melibatkan 200 orang penduduk.

“Pada program ini kami telah mendapat kerjasama daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan seperti Islamic Medical Association (Iman), Human Development Academy (Huda) dan Health Services and Relief Association (Hesra),” katanya.

Selain itu, Madrasah Haramain telah membantu mengadakan program khas untuk umat Islam di sana, iaitu majlis akikah yang berlangsung di madrasah tersebut yang terletak di kawasan pergunungan.

Menurut Ahmad Muizuddin lagi, peserta misi turut mendapat bimbingan daripada sukarelawan MyCare Malaysia, yang merupakan antara NGO antarabangsa paling awal tiba di Nepal pada masa gempa bumi 2015.

“Malah, MyCare menghantar dua orang aktivisnya ke Nepal untuk misi kami ini. Diharapkan jaringan pelajar kami dengan NGO-NGO yang berwibawa seperti ini akan berterusan dalam melancarkan lagi misi kemanusiaan dan kesukarelawan anjuran pelajar,” katanya.

Dia juga berharap misi kemanusiaan yang berterusan dilaksanakan kerana mangsa gempa bumi Nepal masih memerlukan bantuan.