Presidennya, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, bantuan itu diberikan sementara keluarga Ruslida Kamarazaman, 36, mendapat kediaman baharu yang selesa daripada pihak berwajib.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Ruslida dan anak-anaknya tidak mahu berpindah ke kawasan lain walaupun terdapat pihak yang menawarkan bantuan itu.

“Kami juga telah menawarkan rumah sewa yang lain tetapi mereka tidak mahu berpindah. Jadi kita akan menggerakkan sukarelawan MAYC untuk membaiki rumah ini untuk memberi sedikit keselesaan kepada mereka.

“Saya juga dimaklumkan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) te­lah berkunjung ke rumah keluarga ini dan kita akan mengenal pasti bentuk bantuan yang mereka akan berikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan me­nyampaikan bantuan kepada keluarga Ruslida di Kampung Batu 5, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan kesusahan hidup selepas bercerai memaksa seorang ibu tunggal tujuh anak menjadikan kandang kambing yang telah diubah suai sebagai tempat tinggalnya.

Ruslida yang mengambil upah menoreh sebanyak RM10 sehari tinggal bersama anaknya di kandang itu sejak setahun lalu.

Mohd. Syahbuddin turut memuji sikap prihatin rakyat Malaysia yang memberi pelbagai bantuan selepas kisah keluarga tersebut dipaparkan akhbar.

“Kita juga akan membantu seorang anak Ruslida yang tidak bersekolah kerana masalah kewa­ngan keluarga mereka,” katanya.

Sementara itu, Ruslida berterima kasih dan terharu dengan bantuan yang diberikan kepada keluarganya.

“Pagi tadi saya juga telah ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Gua Musang untuk urusan bantuan bulanan kewangan yang akan diterima bermula bulan Julai ini,” katanya.