Walaupun adat yang dikenali Ma’Nene itu sudah tidak banyak dilakukan pada zaman sekarang, namun beberapa daerah seperti Desa Pangala dan Baruppu masih mengamalkan adat itu secara rutin pada setiap tahun.

Ritual Ma’Nene merupakan cara masyarakat Toraja yang mendiami kawasan pergunungan Sesean menghormati leluhur mereka. Populasi suku Toraja kini dianggarkan satu juta orang, dengan separuh daripadanya menetap di Toraja Utara dan daerah Mamasa. Majoriti suku itu kini telah memeluk agama Kristian dengan segelintir masih menganut kepercayaan animisme yang dikenali Aluk To Dolo.

Suku Toraja terkenal dengan adat pengebumian, rumah adat tongkonan dan ukiran kayu.

Antara adat yang mencuri tumpuan pelancong tentulah ritual Ma’Nene. Ritual ini melibatkan adat membersihkan jasad leluhur yang sudah ratusan tahun meninggal dunia.

Profesor dalam bidang Sosiologi berasal dari Tana Toraja, Andy Tandi Lolo, menggambarkan tradisi itu sebagai cara mempertahankan interaksi sosial antara mereka yang masih hidup dengan orang yang sudah meninggal dunia.

Proses ritual bermula dengan anggota keluarga datang ke Patene untuk mengambil mayat anggota keluarga yang disimpan di situ. Patene adalah kuburan keluarga yang bentuknya menyerupai sebuah rumah. Di Patene, mayat leluhur yang telah berumur ratusan tahun tersimpan dalam keadaan elok kerana telah diawet.

Setelah mayat dikeluarkan dari kubur, mayat itu akan dibersihkan dan dipakaikan dengan pakaian baru.

Walaupun mayat leluhur telah berusia ratusan tahun, namun keadaannya masih elok kerana telah diawet.

Ritual itu bukan sahaja dilakukan seluruh anggota keluarga, bahkan seluruh penduduk kampung. Tempoh waktu acara itu berlangsung cukup lama. Setelah pakaian baru dipakaikan pada mayat, anggota keluarga akan memimpin mayat tersebut untuk berjalan bersama mengelilingi kampung halaman.

Mayat kemudian diletakkan semula di dalam kubur dan anggota keluarga akan berkumpul di rumat adat Tongkonan untuk melakukan ibadah. Ritual ini dilakukan selepas waktu musim menuai padi iaitu akhir bulan Ogos, setiap tahun. Biasanya, sebuah keluarga akan melakukan ritual itu dalam tempoh tiga hingga empat tahun sekali.

Pelaksanaan ritual itu juga menyaksikan seluruh anggota keluarga yang merantau ke bandar balik ke kampung untuk bersama keluarga melakukan ritual Ma’Nene bersama-sama.

Justeru, ritual tersebut bukan sekadar membersihkan mayat anggota keluarga dan memakaikan pakaian baru, malah lebih daripada itu. Adat itu mencerminkan betapa pentingnya hubungan dan silatulrahim keluarga dalam masyarakat Toraja.

Walaupun anggota keluarga telah lama meninggal dunia, hubungan erat itu terus terjalin dan tidak terputus. Bagi masyarakat Toraja, kematian tidak akan memisahkan kasih sayang di antara anggota keluarga. Selain itu, ritual itu juga digunakan untuk memperkenalkan anggota keluarga yang masih muda kepada leluhur mereka yang telah beratus tahun meninggal dunia.

Bagi mereka yang ingin melihat keunikan ritual ini, bolehlah berkunjung ke Tana Toraja di Sulawesi Selatan pada akhir bulan Ogos. – Tribuntoraja.com & Tribunnews.com