Kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu melibatkan kebakaran timbunan pakaian yang diletakkan di tingkat atas masjid di pusat pendidikan Islam tersebut.

Kejadian berkenaan disedari seorang posmen selepas melihat kepulan asap hitam dan segera memaklumkannya kepada guru dan pelajar yang berada di tingkat bawah masjid itu sebelum menghubungi bomba.

Mudir Pusat Pendidikan Islam An-Nuur, Mohd. Zaki Mohd. Zulkafali berkata, kesemua pelajar ketika itu sedang bersiap untuk menunaikan solat asar.

Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan tentang kebakaran itu, mereka ke tingkat atas masjid dan mendapati longgokan pakaian pelajar terbakar dengan asap hitam memenuhi ruang penempatan sementara itu.

“Beberapa pelajar cuba memadamkan api dengan air yang diambil dari tingkat bawah menggunakan baldi dan usaha itu berhasil.

“Kami masih terkejut dengan kejadian ini memandangkan kebakaran asrama baharu saja seminggu berlaku namun bersyukur tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya ditemui pemberita di Pusat Pendidikan Islam An-Nuur di sini hari ini.

Pada 17 Januari lalu, seramai 103 pelajar lelaki pusat pendidikan Islam itu trauma apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 8.11 malam.

Kejadian itu memusnahkan hampir keseluruhan asrama pusat pendidikan Islam berkenaan termasuk buku, kitab dan peralatan persekolahan dengan ke­rugian dianggarkan kira-kira RM400,000.

Sementara itu, Mohd. Zaki berkata, bangunan dua tingkat asrama yang hangus terbakar dirobohkan untuk pembinaan semula melalui dana sumbangan orang ramai. - UTUSAN ONLINE