Pengerusi masjid tersebut, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim berkata, kutipan sumbangan itu telah dijalankan sejak dua ming­gu lalu setiap Jumaat dan berjaya mengumpulkan RM1,100.

Menurutnya, inisiatif itu sebagai suara kariah di sini yang menentang keganasan terhadap saudara Islam di negara berkenaan dan simbolik menggesa pihak tidak bertanggungjawab menghentikan keganasan.

“Atas rasa kemanusiaan dan kesedihan yang kami rasa, sumba­ngan ini diharap dapat meringankan penderitaan mereka di sana. Ini adalah usaha yang termampu boleh dilakukan selain menghulurkan doa kepada Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Cek sumbangan Tabung Ro­hingya Utusan-Tabung Haji itu di­serahkan sebelum majlis ceramah Maulidur Rasul yang dihadiri lebih 150 kariah masjid berkenaan.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Kariah Masjid negeri, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan penceramah yang merupakan bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri, Datuk Elias Zakaria.

Jelas Rafique, pihaknya akan meneruskan kutipan sumbangan tersebut pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan tempatan tampil menghulurkan bantuan.

Menurut beliau, langkah itu bertepatan dengan usaha kerajaan Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain memastikan nasib etnik tersebut mendapat pembelaan.

Orang ramai yang mahu membantu juga boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Kumpulan Utusan melalui akaun Bank Islam 14283010000572.