Kumpulan tersebut juga tidak pernah berganjak daripada keputusan menuntut tanah adat mereka daripada kerajaan negeri Kelantan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, rata-rata Orang Asli mengakui bersedia meninggalkan kediaman masing-masing dan berkumpul semula di kawasan sekatan sekiranya kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan di kawasan berkenaan kembali aktif.

Seorang penduduk Orang Asli, Awi Angah, 42, berkata, ketika ini kegiatan pembalakan di kampung mereka sudah semakin berkura­ngan.

Katanya, mereka gembira de­ngan perkembangan itu tetapi tetap mahukan kerajaan negeri mengiktiraf tuntutan tanah adat mereka.

“Kami semua ada keluarga, se­bab itulah kami kembali ke kampung masing-masing untuk bekerja. Hanya terdapat beberapa orang penduduk yang membuat pemantauan di kawasan sekatan.

“Sekiranya pihak pembalak cuba aktif dan mahu melakukan penebangan hutan semula, kita tidak teragak-agak untuk kembali berkumpul di kawasan itu,” kata­nya di sini, baru-baru ini.

Jimmy Angah, 41, pula berkata, sehingga kini juga kerajaan nege­ri tidak berusaha mencari jalan penyelesaian berkenaan tuntutan mereka.

Katanya, masyarakat Orang Asli tidak pernah merobohkan sekatan yang telah dibina mereka sejak lima bulan lalu.

“Selagi kerajaan negeri tidak menjawab permasalahan kami, kami akan tetap membuat sekatan sampai bila-bila.

“Kami sayang tanah hutan kerana itu hak kami. Kami berani buat sekatan untuk dapatkan hak yang selama ini dipinggirkan,” katanya.

Masyarakat Orang Asli suku Temiar membuat sekatan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik sejak 17 Februari lalu bagi menghalang syarikat pembalakan keluar masuk ke kawasan itu.