Rumah keluarga Siti Rahimah Teh, 48, itu rosak teruk selepas dilanda banjir kuning kira-kira empat tahun lalu dan dia tidak mampu untuk memperbaikinya.

Banjir besar itu menyebabkan kebanyakan lantai rumahnya tercabut dan terpaksa digantikan dengan batang nibong di bahagian dapur. Batang nibong itu juga semakin mereput sekarang.

Kata Siti Rahimah, walaupun dalam keadaan begitu daif, mereka lima beranak tidak mampu berpindah kerana hanya rumah itu tempat mereka berteduh.

Tambahan pula katanya, dia menghidap penyakit kencing manis dan sejak tiga tahun lalu, dua jari kakinya telah dipotong dan ini menyebabkan sukar untuk bergerak.

“Saya bimbang jika terpijak lantai nibong yang reput boleh menyebabkan luka bertambah teruk, kerana saya tidak mampu berulang alik ke Klinik Kesihatan Banggol Che Wan di sini kerana tiada kenderaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Siti Rahimah berkata, dua anaknya masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas dan mereka hanya mengharapkan pendapatan suaminya, Mardian Mohamad, 50, yang mengambil upah meracun dan menabur baja padi kira-kira RM300 sebulan.

“Saya pula menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM120 sebulan dan wang itu memang tidak cukup meme­nuhi keperluan seharian,” kata­nya.

Menurutnya, mereka tidak dapat membuat simpanan untuk baik­pulih rumah kerana pendapatan yang tidak menentu dan kadang kala terpaksa mendapat bantuan jiran untuk mendapatkan barang-barang makanan.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam beliau di 03102020206030.