Faridah berkata, seluruh keluarganya iaitu suami, tiga anak, dua menantu dan seorang cucu berusia tiga bulan sedang membiasakan diri dengan rumah sementara yang dibangunkan oleh kerajaan Indonesia bagi menggantikan rumah pusaka peninggalan orang tuanya yang musnah.

“Rumah sementara ini telah siap dibina oleh kerajaan Indonesia 14 hari selepas gempa bumi pertama, walaupun tidak lengkap se­perti rumah asal dahulu ia memadai untuk kami sekeluarga berteduh.

“Selain itu, kami turut mene­rima sebuah khemah kerana bilangan keluarga saya ramai, jadi tidak cukup untuk semua tinggal di rumah sementara itu,” katanya kepada pemberita di Kampung Quba Pangwa, Pidie Jaya, di sini.

Jelas Faridah, dia mengambil masa seminggu untuk menerima kenyataan rumah pusakanya itu musnah selain mendapat soko­ngan moral daripada suami dan jiran tetangga.

Katanya, dia dan keluarganya kini giat membina semula kediaman baharu mereka dengan bantuan modal daripada kerajaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, menantunya, Rohaya Mansor, 26, memberi­tahu, situasi ketika gempa bumi itu cukup mendebarkan dan dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan anak lelakinya yang ketika itu baru berusia 23 hari.

Katanya, dia juga terpaksa me­langgar beberapa pantang bersalin kerana ketika itu keadaan darurat dan masing-masing berusaha menyelamatkan diri.

“Apabila berlaku gempa bumi kedua berlaku, saya sangat bimbang jika berlaku sesuatu terhadap keluarga kerana gempa yang pertama saya telah kehilangan ramai saudara-mara.

“Alhamdulillah, tiada apa yang berlaku tetapi kerana takut kami sekeluarga tidur di luar rumah sejak pukul 3 pagi hingga menjelang subuh,” katanya.