Keluarga berkenaan terpaksa menumpang di bangunan tersebut selepas rumah kekal yang dijanjikan kepada mereka masih dalam proses pembinaan dan belum siap sehingga hari ini.

Seorang penduduk, Elnerayana Mahmud, 36, berkata, selepas banjir besar pada tahun 2014, dia bersama suami, Rozali Yusoff, 42, dan dua anaknya terpaksa tinggal dalam bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir yang terbiar.

Katanya, rumah asalnya dihanyutkan oleh arus banjir me­nye­babkan mereka bersama tu­juh keluarga lain menginap di bangunan terbiar itu.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu mempercepatkan pembinaan rumah kekal kerana sudah hampir tiga tahun kami tinggal di sini.

“Pada tahun ini juga sudah masuk tahun ketiga kami terpaksa berpuasa dan beraya di bangunan transit ini,” katanya di sini kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Anuar Husin, 30, mengharapkan bantuan serupa untuk keselesaan keluarganya.

Katanya, pekerjaannya sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak seberapa menyukarkannya untuk membina kediaman lebih selesa.

“Kami berharap rumah baharu dapat disiapkan segera kerana bangunan lama ini sudah tidak selesa dan kemudahan tandasnya agak jauh. Adakalanya tempat tinggal kami basah kerana bumbung bocor,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, Kerajaan Pusat akan membina 12 rumah baharu dengan kos lebih RM600,000 untuk penduduk di Kampung Lebir yang kediamannya usang dan musnah dihanyutkan banjir.

Katanya, projek pembinaan rumah itu turut dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti kemudahan bekalan air, elektrik dan infrastruktur.

“Seramai empat keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di rumah transit di bangunan lama SK Lebir ini akan mendapat bantuan bina rumah baharu yang kosnya RM56,000 sebuah.

“Kita bersimpati dengan lapan keluarga yang masih lagi tinggal di bangunan transit itu sejak tiga tahun lalu. Selain itu, bantuan rumah akan diberikan kepada penduduk yang rumahnya usang dan hampir roboh,” katanya.