Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, satu unit khas di bawah PPIM yang ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu me­nerima tidak kurang 40,000 adu­an serta berurusan dengan lebih 63,000 ah long.

Beliau berkata, PPIM pada mulanya tidak menjadikan isu ah long sebagai sebahagian daripada perjuangannya namun disebabkan ramai yang terjebak dan tiada organisasi yang mampu membela, maka pihaknya tampil menawarkan bantuan.

“Peranan PPIM adalah untuk menjadi orang tengah ataupun perantara bagi pihak peminjam dengan ah long memandangkan kebanyakannya sudah tidak berani berjumpa dengan ah long untuk berbincang mengenai kadar bunga dan pinjaman yang perlu dibayar.

“Ada juga pengadu hanya berjumpa dengan wakil PPIM apabila ada dalam kalangan ahli keluarga mereka sudah diculik dan keselamatan mereka terancam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nadzim, sesiapa sahaja yang mempunyai masalah dengan ah long boleh menghubungi PPIM bagi menyelesaikan konflik tersebut.

“Kebiasaannya, mereka dinasihatkan menghubungi nombor yang kami berikan dan kemudian satu perjumpaan akan diadakan bersama pengadu bagi membolehkan PPIM mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci.

“Kes melibatkan ah long bukan sesuatu benda yang mudah atau boleh dipandang ringan tetapi perlu lebih berhati-hati apabila berurusan dengan mereka walaupun sudah ada ah long yang mengenali PPIM dan memberi kerjasama yang agak baik,” jelasnya.

Menurutnya lagi, daripada kes yang diterima, kira-kira 75 hingga 85 peratus berjaya diselesaikan melalui proses rundingan.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, hubungi 019-9130000 atau Unit Tindakan Khas PPIM (03-40504454).