Senyuman jelas terukir di wajah para tetamu ketika menikmati aneka juadah berbuka puasa pada majlis tersebut.

Menurut Pengurus Besarnya, Alan Pryor, majlis itu cukup bermakna dan dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi penganjurannya yang sudah memasuki tahun ke-11 berturut-turut.

“Kami terharu melihat dewan kami meriah dengan kegembiraan dan keseronokan apabila kanak-kanak ini menikmati juadah berbuka puasa yang kami sediakan.

“Kami berbangga kerana dapat terus menganjurkan majlis berbuka puasa ini dan kami percaya kerjasama kami dengan Living Hope, YGG dan NKF akan berterusan untuk bertahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Selain berbuka puasa, para tetamu istimewa turut menerima agihan manisan yang disediakan khas oleh pasukan kulinari, serta penyerahan duit raya oleh Pryor bersama pasukan pengurusan kanannya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Living Hope, Dr. Peggy Wong melahirkan ucapan terima kasih buat Pusat Konvensyen KL yang sentiasa berusaha setiap tahun untuk membawa kegembiraan pada kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Kami terharu melihat sebuah organisasi seperti Pusat Konvensyen KL yang menghidupkan semangat Ramadan dan berkongsi kegembiraan musim perayaan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

“Kanak-kanak ini seronok dapat datang ke sini untuk berbuka puasa, terutamanya mereka yang pertama kali mendapat peluang berbuka di luar rumah,” katanya. - UTUSAN ONLINE