Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih penting, rakyat yang hadir ke majlis itu turut berkumpul menzahirkan sokongan kepada Palestin yang berterusan ditindas Israel dengan insiden terbaharu melibatkan penutupan Masjid Al-Aqsa.

“Hari ini kita berjaya ketepikan perbezaan demi kebersamaan. Biarpun kerajaan Persekutuan dan negeri berbeza pegangan politik, tetapi kita tetap bersama menyatukan pandangan apabila melibatkan kepentingan ummah.

“Ini merupakan satu kesinambungan atas satu kesefahaman yang telah lama diwujudkan dan mengulangi semula solidariti ditunjukkan pelbagai pihak ketika mendepani isu Rohingya tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Mesra Raya Aidilfitri di Dataran Rehal, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat.

Terdahulu selepas selesai solat Jumaat, orang ramai diketuai Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan berkumpul secara aman di lokasi sama bagi menzahirkan bantahan terhadap kekejaman dilakukan oleh Israel kepada rakyat Palestin. - UTUSAN ONLINE